NOVEMBER 2023

Sarawak Laksana Inisiatif Tangani Isu Urbanisasi, Kelestarian


KUCHING: Kerajaan Sarawak  terus menyokong dasar iklim yang bercita-cita tinggi dan merangkumi semua aspek termasuk pelaburan dalam sumber tenaga boleh diperbaharui.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah berkata, disebabkan itu Sarawak sentiasa mengutamakan amalan mampan dalam agenda pembangunan negeri menerusi Rangka Tindakan Sarawak Lestari.

“Kerajaan Sarawak mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dalam memainkan peranan bagi mencapai pembangunan dasar yang menggalakkan amalan kelestarian termasuk tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Prasmian Persidangan Forum Bandar Malaysia (MUF) ke-5 2023 di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini.

Menurut Awang Tengah, Sarawak telah memulakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu urbanisasi dan kelestarian bagi menangani semua isu secara global. 

“Antara inisiatif itu ialah PCDS 2030 dengan aspirasi masyarakat Sarawak akan berkembang maju didorong oleh data dan inovasi yang mana semua pihak menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran mampan menjelang 2030,” katanya.

Objektif PCDS 2030 adalah mengubah struktur ekonomi; memodenkan dan meningkatkan kecekapan; meningkatkan pendapatan isi rumah; meletakkan kelestarian alam sekitar dalam usaha pemulihan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

MUF 2023 dianjurkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan melalui agensinya, Urbanice Malaysia dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) selaku tuan rumah.

MUF 2023 diadakan 4 hingga 8 November 2023, disertai lebih 300 penceramah dan ahli panel daripada lebih 106 sesi forum dan acara terbuka di samping seramai 5,000 peserta dijangka menyertainya.

Sumber dari : Jiwa Bakti